Khamis, 13 Februari 2014

RANKING UNIVERSITI DI MALAYSIA TERUS JATUH

Kerajaan Yaman memutuskan tidak lagi menghantar pelajarnya ke Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) di Malaysia kerana ia hanya mengaut keuntungan.
Akhbar Yemen Times melaporkan, langkah tersebut diambil kerana kualiti buruk pendidikan swasta di Malaysia dan juga kos pengajian yang tinggi.
"Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kajian Saintifik memutuskan pada Isnin untuk mengakhiri biasiswa kerajaan Yaman kepada universiti swasta di Malaysia.
"Ini disebabkan kualiti pendidikann yang buruk dan kos tinggi," kata agensi pendidikan Yaman dalam laporan tersebut.
Yemen Times juga memetik pengarah biasiswa di kementerian, Ahmed Al-Rabei sebagai berkata yuran pengajian di IPTS tiga kali ganda tinggi berbanding di institut pengajian awam.
"Bayaran yuran dan tuisyen universiti swasta tiga kali ganda daripada universiti awam.
"Kos belajar di universiti awam di Malaysia dianggarkan kira-kira $1,500 setahun, manakala kos pengajian di universiti swasta pula sebanyak $4,500," kata Ahmed yang dipetik berkata dalam laman berita tersebut.
Menurut laman tersebut, sebanyak 9,000 pelajar Yemen sedang menuntut di Malaysia dan 4,000 daripadanya adalah pelajar universiti swasta.
Laman tersebut memetik Ahmed pada Ogos 2013 lalu ke Malaysia untuk menyelesaikan masalah tersebut di kalangan pelajar Yaman, bagaimanapun ia tidak berhasil sebaliknya pelajar di univesiti swasta bergelut dengan hutang hampir enam tahun lamanya.
Berdasarkan rekod Kementerian Pengajian Tinggi sehingga November 2013, Malaysia mempunyai sebanyak 520 IPTS yang terdiri daripada universiti, kolej universiti dan kampus cawangan luar negara.
Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memiliki IPTS paling banyak.
September tahun lalu, prestasi universiti di Malaysia jatuh lagi selepas kedudukan universiti dunia yang dikeluarkan QS World University Ranking menunjukkan rata-rata kedudukan universiti awam Malaysia terus merosot dalam senarai, dengan hanya Universiti Malaya masih berada dalam kelompok 200 universiti terbaik dunia tahun ini.
Tujuh universiti Malaysia berada dalam kelompok 800, dan Universiti Teknologi Malaysia menunjukkan sedikit peningkatan iaitu daripada kedudukan 358 pada tahun 2012, kepada 355 tahun ini. – 13 Februari, 2014. Sumber : The Malaysian Insider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan