Rabu, 12 Februari 2014

KEJAYAAN BN DAN TRAGEDI BOT KARAM SEJARAH 2013 DI SARAWAK



   
KUCHING, 24 Dis (Bernama) -- Tidak dapat disangkal, 2013 adalah tahun penuh
sejarah di Sarawak, terutama dari segi politik dan kemasyarakatan.
   
Kejayaannya menghadiahkan 25 kerusi parlimen kepada Barisan Nasional (BN)
dalam pilihan raya umum 5 Mei, menyaksikan tujuh anggota parlimen Sarawak
dilantik sebagai menteri penuh dalam kabinet yang diteraju oleh Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak.
   
Sarawak dan jirannya Sabah menguasai lebih 35 peratus daripada keseluruhan
222 kerusi parlimen.
   
Pelantikan semula Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng, 92, sebagai
Yang Dipertua Negeri pada 5 Dis, menjadi bahan bualan kerana kali ini beliau
akan berkhidmat untuk tempoh yang terlalu singkat iaitu sehingga 28 Feb depan.
   
Beliau merupakan ketua negeri pertama yang berkhidmat sebanyak dua kali
dalam kapasiti itu. Kali pertama beliau dilantik ialah pada April 1977 untuk
satu penggal selama empat tahun dan dilantik kali kedua pada Februari 2001
sehingga sekarang.

Sekalipun beliau berada dalam keadaan sihat walafiat dan aktif jika
dibanding dengan usianya, ramai rakyat di Sarawak tertanya-tanya apa mungkin ini
penggal terakhir beliau.
   
Sementara itu, dalam konvensyen Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang
berlangsung dari 18 hingga 22 Okt lepas, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud
sekali lagi diberi mandat untuk memimpin parti tunjang BN Sarawak tersebut,
selepas perwakilan bersetuju jawatan presiden parti tidak dipertandingkan.
   
Pengekalan pemimpin untuk tiga jawatan tertinggi PBB termasuk dua timbalan
yang masing-masing dipegang oleh Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu
(sayap Pesaka) serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Amar
Abang Johari Tun Openg (sayap Bumiputera), adalah selari dengan tradisi PBB yang
mahu mengelak perebutan kuasa yang pastinya akan melemahkan parti.
   
Spekulasi mengenai calon ketua negeri juga kedengaran, terutama jika melihat
sejarah sebelum ini apabila Abdul Taib, 77, dilantik menjadi ketua menteri
keempat menggantikan bapa saudaranya Tun Abdul Rahman Yakub yang dilantik
sebagai Yang Dipertua Negeri keempat pada 1981.
   
Dalam pada itu, tidak semua indah dalam BN Sarawak. Parti komponennya Parti
Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), berdepan risiko dibatalkan pendaftaran oleh
Pendaftar Pertubuhan (ROS) susulan konflik dalaman antara Presiden parti Tan Sri
Peter Chin dan kem yang dipimpin oleh Ketua Bahagian Sibu Datuk Seri Wong Soon
Koh, berhubung dakwaan penyelewengan dalam pemilihan parti pada 2011.

Ketua Menteri mahu komuniti Cina bersatu di bawah satu entiti jika SUPP yang
merupakan pertubuhan politik tertua di Sarawak serta pernah mengecap
kegemilangan, gagal menyelesaikan krisis dalamannya.
   
"Saya harap mereka (pemimpin parti) boleh menyelesaikan masalah mereka
bersama-sama dan jika mereka gagal, saya mahu lihat kaum Cina kembali bersatu di
bawah satu pertubuhan," kata Abdul Taib yang juga Pengerusi BN Sarawak kepada
pemberita ketika merasmikan penyampaian Anugerah Khas Ketua Menteri Sarawak
Yayasan Sarawak 2012, di sini pada 11 Dis lalu.
   
Beliau bagaimanapun enggan mengulas sama ada kenyataannya itu bermakna akan
ada pertubuhan politik baharu yang membabitkan penyertaan anggota dari kedua-dua
pihak bersengketa dalam SUPP, bagi mengisi kekosongan parti kaum Cina dalam
gabungan BN negeri.
   
Luka SUPP bertambah parah apabila merekodkan prestasi buruk dalam pilihan
raya perlimen. Parti itu kalah dalam enam daripada tujuh kerusi yang
ditandinginya, jauh berbeza dengan PBB serta dua lagi parti komponen yang lebih
kecil iaitu Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak
(SPDP).
   
Mengenai kewujudan lima parti baharu iaitu Parti Ekonomi Rakyat Sarawak
Bersatu (PERSB), Parti Bumi Kenyalang (PBK), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru
(PBDS Baru), People’s Alliance for Justice of Peace dan Parti Tenaga Rakyat
Sarawak (Teras) yang pendaftarannya diluluskan oleh ROS pada Ogos lepas, Abdul
Taib berkata mereka tidak akan menggugat kedudukan BN Sarawak.

Dalam pada itu, tragedi bot 'Kawan Mas' yang karam di Sungai Rajang,
berhampiran Giam Bungan di Belaga pada 28 Mei dan meragut tiga nyawa, membawa
suram kepada sambutan Hari Gawai.
   
Rata-rata 159 penumpang yang selamat berkongsi cerita mengenai sikap haloba
pengusaha bot yang mengetepikan aspek keselamatan dan mengambil kesempatan
daripada sambutan Gawai dengan memuatkan penumpang berlebihan.
   
Bagi pemandu trak Felix Linggi, 27, yang dalam perjalanan pulang ke Kapit
dari kem pembalakan di Bakun, tragedi itu merupakan saat paling menakutkan dalam
hidupnya.             
   
Setiap yang terselamat menerima sumbangan wang tunai RM1,000, manakala waris
penumpang yang maut pula menerima RM10,000 masing-masing, yang disalur oleh
Majlis Keselamatan Negara dan Gagasan 1Malaysia.
   
Ketika menghadiri jamuan malam Gawai Dayak di sini, Najib yang sedih dengan
tragedi itu mengumumkan peruntukan RM400 juta untuk pembinaan jalan sepanjang 33
kilometer dari Song ke Kapit, selain sebuah jambatan di Kanowit untuk memudahkan
perjalanan darat ke Sibu. 
   
Dalam majlis itu yang merupakan antara perayaan utama di Sarawak dan dirai
oleh komuniti Dayak, juga menyaksikan tiga penduduk - Harudis Busan, 42; Naries
Busan, 36; dan Kimi Tanjung, 32 - dari Rumah Panjang Sekupan di Belaga, diangkat
sebagai wira atas jasa menyelamatkan ramai penumpang, dan masing-masing menerima
RM3,000 sebagai penghargaan kerajaan.
   
Sementara itu, sebagai cerminan sikap toleransi rakyat di Sarawak, Abdul
Taib berkata kalimah 'Allah' yang menjadi isu di Semenanjung, tidak menjadi
kudis di negeri berkenaan dan keputusan Mahkamah Rayuan mengenai kes tersebut
tidak terpakai di Sarawak dan Sabah. Bernama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan