Isnin, 5 Ogos 2013

UCAPAN SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 2013

Salam sejahtera, 

Dengan rasa sukacita saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat muslim khasnya umat muslim di Negeri Sarawak. Kesempatan ini saya mendoakan semoga semuanya berada dalam keadaan sihat walafiat dan bergembira disamping keluarga dan sanak saudara tercinta .

YB Baru Bian
Hari raya disambut dengan penuh kesyukuran dan hari lebaran adalah susulan kejayaan umat Islam dalam mengerjakan ibadah puasa sebulan Ramadhan. 

Dalam mana-mana kepercayaan, puasa mempunyai hikmah kurniaan Allah. Puasa mengajar umatnya supaya tidak tamak keduniaan. 

Supaya manusia tidak dipengaruhi oleh kesenangan dunia semata-mata. Supaya manusia mengerti bagaimana kepayahan yang dialami oleh fakir-fakir yang terpaksa belapar kerana kemiskinan.

Sesungguhnya kehidupan di dunia ini adalah sementara; justeru bermegah-megah dengan bangunan, berbangga-bangga dengan kekayaan hanya akan melalaikan umat manusia, malah akan membawa kesengsaraan dan kemusnahan. 

Sesungguhnya manusia hanyalah pengembara, lantas manusia diseru oleh setiap kepercayaan supaya mengamalkan kehidupan yang sederhana dengan tidak menindas sesama umat manusia dan menghindarkan diri dari bersikap tamak. 

Ini kerana sifat-sifat sedemikian hanya akan mendorong manusia itu mengetepikan pahala dan melakukan dosa lalu mengamalkan rasuah dan penyelewengan disebabkan keinginan bermewah-mewah. Mereka tidak dapat mengenali mana satu rezeki yang halal dan mana satu rezeki yang haram. Jauh sekali untuk mengingati syurga dan neraka.

Semoga kesyukuran menyambut hari lebaran ini, akan disusuli dengan semangat kecintaan dan perpaduan dikalangan umat berbagai bangsa dan agama. 

Semangat ziarah menziarahi akan kita teruskan, tanda keakraban kita bersaudara, berjiran dan bertaulan. 

Menzahir dan mendoakan melalui ucapan-ucapan yang baik dan sempurna akan merapatkan lagi hubungan sesama kita.

 Janganlah ada diantara kita yang menaruh syak wasangka yang melampau yang akhirnya akan menimbulkan permusuhan sesama kita. 

Terutama sekali isu-isu yang membabitkan agama dan bangsa. Saya penuh yakin bahawa rakyat negara kita sudah cukup matang untuk tidak terikut-ikut rentak sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab yang mengapi-apikan isu-isu perkauman dan agama. 

Sikap yang terlalu mementingkan diri sendiri begini tidak patut dilakukan, kerana setiap kepercayaan adalah bermatlamat keesaan Tuhan; yang menyeru kepada kebaikan, keharmonian dan keamanan sejagat. 

Justeru saya berkayakinan bahawa perayaan sebegini boleh dijadikan wadah untuk membentuk sebuah masyarakat yang bersatu padu. 

Sejak akhir-akhir ini kita telah dikejutkan dengan rencam jenayah yang diluar jangkaan kita. Sebuah negara yang dikatakan aman damai telah dikejutkan dengan insiden-insiden pembunuhan demi pembunuhan menggunakan senjata api. 

Kita juga dikejutkan dengan kematian demi kematian disebabkan kemalangan jalan raya, khasnya yang berlaku di negeri kita yang tercinta ini.

Insiden kemalangan maut yang menimpa empat orang kakitangan JAKIM baru-baru ini sangat menyedihkan. 

Kita melahirkan rasa dukacita dan sangat bersimpati dengan keluarga-keluarga yang terlibat. Saya berdoa semoga keluarga yang terlibat tabah dan bersabar atas dugaan ini.

Sesunggguhnya kejadian-kejadian tersebut juga berkait rapat dengan sistem pemerintahan kita. 

Pihak berwajib harus segera menangani jenayah pembunuhan bersenjata api dengan kadar yang segera, manakala pihak berwajib juga harus menyegerakan pembinaan jalan raya yang lebih sempurna dan selamat khasnya di negeri Sarawak ini. 

Kita tidak boleh serah sebulat-bulatnya dengan kuasa takdir. Dalam masa yang sama rakyat diseru bekerjasama dan lebih berhati-hati dalam hal keselamatan diri dan harta benda. 


Di hari yang mulia ini, marilah kita bersama-bersama berdoa semoga kita dijauhi mala petaka yang tidak diingini. Semoga kita semua berada dalam keadaan sihat dan selamat.

ANYAM KETUPAT DI PAGI HARI
RENDANG DAGING SUDAH DISEDIA
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
DARI SAYA SEISI KELUARGA.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir Dan Batin

Baru Bian
ADUN N70 Ba’ Kelalan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan